Isnin, 3 Ogos 2009

Apa Sebenarnya Mereka Mahu?

Terkejut apabila membaca akhbar hari ini, seorang askar wataniah ditetak kerana menegur seorang remaja 15 tahun yang menunggang motosikal secara merbahaya. Mengapa mesti marah sehingga mahu menetak dan mencederakan orang lain? Adakah ini menandakan remaja hari ini tidak boleh ditegur? Bagaimana perasaan ibu bapanya apabila mengetahui zuriatnya berani berbuat demikian?

Apakah mereka berasakan bahawa mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan? Jika dilihat kembali berita ini, askar wataniah ini cuma menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam, sekaligus pendukung keselamatan negara, tidak salah jika beliau memberi teguran sebagai tanda perihatin. Walau bagaimanapun, remaja tersebut memang tidak sedar diri, apabila dia telah membawa tiga orang rakannya dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam sebagai tanda tidak puas hati atas teguran tersebut. Mangsa yang sudah tentunya mahu mempertahankan diri, tidak mempunyai sebarang senjata hatta sebatang kayu reput bagi menangkis serangan berkenaan. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan.



Jika tidak mahu ditegur, jangan lakukan sesuatu yang dianggap salah. Itu bukan sikap masyarakat timur yang kaya dengan adab sopan dan budi bahasa. Sepatutnya, remaja berkenaan meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya. Kalau tidak boleh ditegur, jangan hidup bermasyarakat. Jalanilah hidup sendiri seperti Robinson Crusoe yang tinggal di pulau keseorangan. Anda mahu......? Pasti kita akan gila kerana keseorangan.


Apabila difikirkan semula, apa sebenarnya remaja ini mahukan? Ingin hidup bebas tanpa sebarang sekatan? Kita hidup dalam kelompok masyarakat yang mengamalkan undang-undang. Usah ikut kata hati sahaja. Bagaimana anda mahu menghadapi kehidupan pada masa akan datang? Bagaimana anda mahu memimpin generasi masa depan? Bagaimana anda mahu menjadi ikutan terbaik buat anak-anak anda? Contohilah akhlak yang baik dan saya percaya ramai remaja lain memilikki ciri-ciri akhlak mulia ini. Kepada remaja yang sentiasa mementingkan keseronokan dan keduniaan semata-mata, fikir-fikirkanlah.